Sorting by

×

Universiti awam di Malaysia diminta mematuhi ketetapan kerajaan mengenai had yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya terdapat pihak universiti yang ingkar dengan arahan berkenaan, kementerian itu akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Bagaimanapun saya percaya apabila ada arahan dan keputusan jelas, universiti tidak akan melanggar arahan tersebut.

“(Kalau langgar) tunggu kementerian datang,” beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) anjuran KPT dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula Januari tahun depan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.

Beliau berkata, langkah itu seiring dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak. – Bernama