Selepas ciri baharu di aplikasi MySejahtera yang dinamakan MyMinda dilancarkan 22 Okt lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 1,315 cubaan bunuh diri dalam tempoh dua minggu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, statistik tingkah laku atau cubaan membunuh diri itu adalah daripada keseluruhan 6,955 saringan bagi melihat status kesihatan mental yang hasil data diperoleh daripada aplikasi berkenaan.
“Dari tarikh kita lancarkan MyMinda ini jumlah saringan yang kita dapat dalam masa dua minggu adalah 6,955 bagi melihat status kesihatan mental masing-masing,” katanya.
Beliau berucap ketika Program Minda Sihat Hidup Sejahtera dan Perjanjian Persefahaman (MoU) Kesihatan Mental di tempat kerja antara KKM dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Turut hadir bersama adalah Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Dalam pada itu, beliau juga berkata daripada 6,955 saringan diterima, sebanyak 2,820 orang didapati berisiko kemurungan manakala 1,271 bergejala kemurungan dan 2,887 mengalami keresahan.
“Komponen MyMinda ini terdiri daripada saringan minda sihat, sumber psiko-pendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial. Pelancaran komponen MyMinda ini adalah salah satu intervensi awal psikososial yang dapat dicapai di hujung jari sahaja,” katanya.
Menurutnya lagi, MyMinda adalah salah satu komitmen KKM dalam meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental melalui digitalisasi seiring perkembangan teknologi digital.
Pada masa yang sama, Sivakumar berkata mengikut statistik Penyakit Pekerjaan Negara Tahun 2022, hanya satu kes psikososial dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, kementeriannya memandang serius isu kesihatan mental di tempat kerja dan sedang membangunkan dasar berkaitan dengan melibatkan semua pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, majikan, pekerja, persatuan dan badan bukan kerajaan.