Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini mendedahkan bahawa terdapat bukti penyedia platform media sosial TikTok telah menurunkan kandungan mengenai konflik Palestin-Israel secara sistematik di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ini hasil aduan pengguna platform berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai kandungan dan siaran langsung yang dimuat naik telah diturunkan atau disekat, ini termasuk ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Himpunan Malaysia bersama Palestin Selasa lalu.

“Saya bagi contoh, satu kandungan itu ucapan Perdana Menteri berserta dengan beberapa gambar dari Gaza, berdasarkan maklum balas dari pihak TikTok mereka mengatakan ada gambar keganasan.

Tetapi bila saya teliti balik kandungan itu, ia adalah seorang ayah yang mengangkat mayat anaknya yang diselimut.

“Tidak ada gambar darah, tidak ada yang orang kata macam yang menggerunkan. Bagi saya, ini tak masuk akal, Saya sangat-sangat marah dengan pihak TikTok dan kita telah memberi satu mesej yang kalau bagi saya mereka tak faham ini, kita kena fahamkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Penjawat Awam, peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Angkasapuri, hari ini.

Ujarnya lagi, malam ini akan diadakan sidang khas tergempar Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan konflik Palestin-Israel di mana Malaysia akan turut terlibat dalam persidangan tersebut. -Media Perpaduan