Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bahawa MITI dijangka akan menerima pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun melebihi nilai US$ 30 billion yang juga hasil daripada sokongan berterusan daripada syarikat Jepun.

Tengku Zafrul juga mengatakan bahawa walaupun dengan kelembapan yang dialami oleh persekitaran perdagangan global, sektor swasta di kedua-dua negara menunjukkan keyakinan dalam prospek perniagaan tahun ini.

“Apabila kita melihat kepada ekonomi tempatan dan global, kita berharap pertumbuhan (perdagangan Malaysia-Jepun) akan berterusan, tetapi kita masih perlu melihat (kemajuan kerana terdapat) terlalu banyak ketidaktentuan sekarang dalam perdagangan global.

“Bagaimanapun, pelaburan adalah isu yang berasingan. Saya fikir (untuk) pelaburan, kami optimis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Ekonomi Malaysia-Jepun di sini hari ini.

Dalam ucapannya juga, Tengku Zafrul juga menghargai hubungan erat dan kukuh antara Malaysia dan Jepun sejak beberapa dekad lalu. Jepun juga telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia sepanjang lapan tahun berturut sejak 2015.

Pada 2022, ketika persekitaran global yang terkesan dengan pandemik, perdagangan dengan Jepun membentuk 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia yang bernilai US$ 41.26 billion (RM 181.73 billion).

Pada majlis itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mekanisme pengkreditan bersama telah ditandatangani antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun (JCCI) dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).


Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata MOU itu bertujuan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana serta entiti besar kedua-dua negara untuk lebih berdaya saing di peringkat global, termasuk menyediakan akses pasaran ke destinasi masing-masing.

“Tahun lepas, kami mencapai kira-kira US$40 bilion perdagangan (dengan Jepun), tetapi tahun ini, kami berharap ia meningkat lebih 10 hingga 20 peratus.

“Dengan MOU ini, kita mampu meraih lebih banyak komunikasi perniagaan-ke-perniagaan secara langsung dan lebih banyak eksport dari Malaysia, manakala pada masa yang sama Jepun juga boleh mengeksport ke Malaysia,” katanya. – BERNAMA