Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘mesra industri sukan’.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ternyata gembira dengan peruntukan RM72 juta dalam Belanjawan 2024 yang dianggapnya meliputi kepentingan semua pihak.

Katanya, hampir kesemua senarai hajat (wish list) KBS telah ditunaikan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan kali ini, sekali gus dapat memperkasakan lagi industri sukan tanah air.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet dalam Program Podium termasuk RM20 juta di bawah program Road to Gold (RTG) sebagai persediaan memburu pingat emas sulung menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Belanjawan 2024 turut menyaksikan sebanyak RM12 juta disediakan untuk Majlis Sukan Negara (MSN) bagi program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

Selain itu, Hannah menyifatkan pelepasan cukai untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan dalam Belanjawan 2024 akan memberi impak besar terhadap industri sukan negara.

Jelasnya, perkara itu penting kepada ibu bapa yang melaburkan wang simpanan setiap bulan bagi membolehkan anak-anak mereka kekal aktif bersukan, di samping mengejar impian menjadi jaguh sukan pada masa akan datang.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat minggu lalu mengumumkan cadangan kerajaan untuk memberi pelepasan cukai khusus bagi pembelian peralatan dan aktiviti sukan, terhad sehingga RM1,000 dan akan diperluaskan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan. -Media Perpaduan