Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dalam menjayakan usaha projek penanaman padi lima musim dalam jangka masa dua tahun yang melibatkan projek melibatkan naik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijangka bermula tahun depan mengikut kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad Sabu juga mengatakan bahawa antara inisiatif lain bawah projek berskala besar itu adalah pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan tertier, pembangunan dan penyelenggaraan skim pemindahan sumber air Jeniang fasa dua di samping pemulihan menyeluruh Empangan Pedu di Kedah.

Di bawah peruntukan bernilai RM 3 bilion ini, projek skala besar ini akan melibatkan kerjasama antara awam-swasta, melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur berkaitan penamaan padi kawasan MADA yang terdahulu dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

“Sehingga 30 September 2023, pelaksanaan inisiatif ini sedang dalam peringkat penilaian perolehan melalui kaedah permintaan untuk cadangan (RFP), yang diuruskan bersama di antara unit kerjasama awam-swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MADA dan jabatan-jabatan lain juga terlibat.

“Pembidaannya sedang berjalan sekarang yang akan dibayar semula oleh kerajaan kepada syarikat terlibat selepas projek siap,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini.

Kenyataan beliau mengenai projek naik taraf pengairan ini bagi menjawab persoalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menyoal mengenai bilakah projek tersebut akan disiapkan.

Seterusnya, beliau juga menyatakan komitmen kementerian dalam memperkasakan sistem pengairan bagi tanaman padi di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak dalam usaha menjadikan kedua negeri ini jelapang padi kedua negara. Hal ini kerana negeri-negeri di utara berlaku banjir secara serentak iaitu pada bulan Disember dan Januari. -Media Perpaduan