Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperhalus cadangan mengenai syarat saringan tapisan keselamatan bagi sesiapa yang ingin bekerja sebagai pengasuh.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai langkah pencegahan bagi mengurangkan kes dera kanak-kanak yang dilihat meningkat di Malaysia dan bantuan yang diberikan kepada mangsa.

Nancy memaklumkan saringan keselamatan ini sebagai langkah bagi mengurangkan kes penderaan kanak-kanak di bawah jagaan pihak luar seperti di taska dan pusat asuhan. Calon pengasuh dan pengusaha taska akan dikehendaki menjalani ujian psikometrik.

Beliau juga menambah bahawa JKM telah menggariskan penambahbaikan dalam usaha ini seperti menyusun semula penempatan pegawai di setiap daerah dan memperkasakan pasukan penguatkuasa.

Setiap pegawai berkenaan katanya, akan memberi fokus kepada aspek pemantauan dan tindakan penguatkuasaan khususnya di taska dan pusat jagaan dengan setakat ini, terdapat 43 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko.

JKM juga telah menambaik peraturan dan garis panduan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska dengan mewajibkan pihak pengusaha taska memastikan tiada titik buta dalam lingkungan CCTV kecuali di tempat peribadi seperti bilik persalinan pakaian dan bilik air.

Usaha dalam mengurangkan risiko kes penderaam kanak-kanak jagaan keluarga memerlukan langkah pendekatan berbeza kerana ini meliputi pelbagai faktor yang luas dan di luar bidang serta kemampuan KPWKM dan JKM. -Media Perpaduan