Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar lebih ramai penyelidik negara maju ke hadapan dan memberanikan diri untuk menyumbang kepada industri selain menerajui inovasi berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Beliau juga meminta para pemain industri untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya buat pekerja berilmu dan berkemahiran tinggi ke arah meningkatkan prestasi masing-masing.
“Saya gusar bahawa data menunjukkan 87.5 peratus penyelidik di Malaysia berkhidmat di institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan awam berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Singapura di mana 50 peratus dan ke atas penyelidik berada di sektor industri.
“Saya lontarkan cabaran kepada hadirin dan hadirat sekalian sebagai pakar dan ilmuan untuk menjadi pemacu perubahan, bergerak supaya lebih berdaya saing dan mampan, memperkukuh ekosistem STI negara, membangunkan bakat yang sejajar dan memanfaatkan rakyat melalui STI harus menjadi keutamaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia 2023 di sini malam Selasa. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Chang Lih Kang.
Anwar juga menyokong syor dalam Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi (RDCI) iaitu mewujudkan satu Platform Inovasi Nasional untuk membawa pihak yang mencari penyelesaian serta yang memberikan penyelesaian ke arah mempertingkat prestasi inovasi negara.
Ini penting dalam mewujudkan kembali kepercayaan rakyat kepada STI dalam memajukan sosioekonomi.
“Komuniti saintifik negara juga harus mengubah cara kerja supaya berorientasikan misi dan menjurus kepada pemberian penyelesaian serta merungkaikan cara untuk laksanakan sesuatu inisiatif secara menyeluruh dan efektif.
“Penterjemahan ilmu, penemuan baharu dan hasil penyelidikan kepada penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi negara serta masyarakat patut menjadi fokus utama ke arah menjana impak positif,” katanya.
“Saya juga ingin menyarankan supaya semua badan pemikir yang ada di negara ini bersatu di bawah satu perikatan badan pemikir negara dalam memberikan input holistik berpaksikan pemikiran masa depan,” katanya.
Anwar juga berkata dalam usaha merealisasikan aspirasi STI negara, komuniti saintifik Malaysia perlu bekerjasama secara efektif dengan kerajaan, industri dan masyarakat sivil bagi membolehkan hasrat Malaysia untuk mencapai kedudukan antara 30 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025 tercapai. -Berita Harian