Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan Gulf Information Technology Exhibition (Gitex) Global 2023 dalam masa terdekat bagi melihat peluang yang ada bagi membawa pameran tersebut ke Malaysia.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, satu peluang yang sangat baik untuk meletakkan Malaysia dalam salah satu acara global yang membabitkan pelbagai syarikat teknologi antarabangsa sekiranya GITEX dapat diadakan di Malaysia.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan untuk membawa GITEX ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama semasa sesi libat urus bersama diaspora Malaysia di Dubai yang diadakan di luar acara GITEX Global 2023 di sini.
Sesi libat urus berkenaan turut menyaksikan penyerahan lapan memorandum persefahaman syarikat-syarikat Malaysia, Dubai dan Asia Barat dengan enam daripadanya adalah untuk ‘akses pasaran’ dan dua adalah pelaburan.
Pada masa sama, beliau berharap lawatan rasmi selama empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dapat memacu perbincangan di antara syarikat-syarikat dan memberi satu isyarat yang baik bahawa ‘Malaysia terbuka untuk perniagaan’, terutamanya dari kalangan syarikat Asia Barat, khususnya UAE.
Mengenai kunjungan hormat ke atas Menteri Negara UAE bagi Kecerdasan Buatan, Ekonomi Digital dan Aplikasi Kerja Jarak Jauh, Omar Sultan Al Olama, Fahmi berkata beliau ingin melihat potensi dan perkembangan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan di UAE.
“Negara UAE ada banyak perkara yang mungkin kita boleh pelajari dan bincang serta melihat kesesuaian untuk kita manfaatkan bagi pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan bahawa lawatan-lawatan dari Malaysia, antaranya lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Fahmi dilihat sebagai momentum yang baik dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara dua negara.
“Pada masa ini, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara adalah sekitar AS$8.75 bilion (RM41.4 bilion) dan dengan momentum yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri ini, saya yakin akan ada lebih banyak lagi yang akan datang,” katanya.
Perdagangan dua hala mencecah RM38.73 bilion pada 2022, menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 73.5 peratus tahun ke tahun.
Dari segi pelaburan, UAE kini pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan menduduki tempat kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Edisi ke-43 GITEX Global akan dihadiri lebih 6,000 syarikat dari 170 negara (16 hingga 20 Oktober) di Pusat Dagangan Dunia Dubai, manakala Expand North Star (ENS) akan diadakan mulai 15 hingga 18 Oktober di Dubai Harbour. – Malay mail / Berita Harian