Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan membuat sesi siaran langsung di media sosial ketika di dalam Dewan Rakyat bermula hari ini.
Ini bermakna Ahli Parlimen tidak boleh membuat sesi siaran langsung di Tiktok, Facebook, Instagram dan Youtube.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan bahawa tindakan tersebut bertentangan dengan peraturan mesyuarat 35 (1) yang memerlukan Ahli Dewan mengarahkan pandangan dan ucapan kepada pengerusi dewan.
Tan Sri speaker dewan tidak menolak bahawa teknologi moden dan teknologi digital itu perkara baik namun beliau berkata sesi Parlimen disiarkan secara langsung menerusi Youtube rasmi Parlimen Malaysia dan RTM, maka ahli Dewan boleh mengambilnya melalui dua siaran tersebut.
“Apabila anda membuat sesi langsung di media sosial tersebut, perhatian anda tidak berada di Dewan, anda berkomunikasi bersama penonton anda,” kata Johari sebelum sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Johari turut mengumumkan satu soalan tambahan akan dibenarkan semasa sesi soal jawab Perdana Menteri. Ia akan berkuatkuasa mulai esok.