TIKTOK mengakui masih memiliki kelemahan dalam mematuhi garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Malaysia membabitkan penggunaan aplikasi media sosial di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, terdapat kelemahan yang mesti diperbetulkan segera oleh pihak TikTok.
“Saya tekankan pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan, dan hal ini mesti diperbetul segera.
“Pihak TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di Malaysia pada ketika ini,” katanya menerusi kenyataan dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan, selain isu operasi TikTok Shop, pengurusan tertinggi TikTok diketuai Naib Presiden Global TikTok, Helena Lersch dalam satu pertemuan semalam, memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam membendung peningkatan berita palsu di platformnya.
Dalam perbincangan tersebut, beliau menegaskan, TikTok perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia.
“TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform berkenaan, termasuk penularan yang bersifat ‘Coordinated Inauthentic Behaviour’ (CIB),” katanya.
Fahmi berkata, KKD mahu TikTok mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform terbabit.
Menurutnya, ini berikutan aduan daripada gedung-gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang sangat terkesan akibat iklan yang ditempah terus dengan platform media sosial.
“Sehubungan itu, TikTok memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera untuk menyelesaikan isu-isu ini,” katanya. –Media Perpaduan