LIMA lagi kilang beras di Kedah diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini dan semalam.
Serbuan SPRM ini telah membongkar ketirisan pengedaran beras dalam negara.
Siasatan SPRM menjuruskan kepada penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang berlesen.
Dalam operasi itu, SPRM turut menjalankan siasatan untuk mencari punca ketiadaan beras di pasaran, termasuk tindakan mencampur beras tempatan dengan beras import dan menyorok stok beras.
Menurut laporan BH, dalam serbuan di dua kilang, semalam serta tiga lagi kilang, hari ini, SPRM mengsyaki ada penipuan resit pembelian padi dan penyelewengan jumlah berat padi dijual di kilang, tidak sama dengan nilai subsidi dibayar kepada petani.
Sumber berkata, SPRM mendapati modus operandi digunakan sindiket ialah menipu resit pembelian padi di kilang berkenaan.
Katanya, siasatan turut melihat kemungkinan nilai subsidi dibayar kepada petani tidak sama dengan jumlah berat padi dijual di kilang.
“Subsidi dibayar oleh kerajaan melalui BERNAS sebanyak RM500 bagi setiap tan padi yang dijual di kilang, dengan pihak kilang membeli daripada petani dengan harga RM1.25 sekilogram.
“Ini bermaksud, sekiranya seorang petani menjual satu tan beras kepada pengilang, mereka akan menerima RM1,250 termasuk RM500 subsidi daripada kerajaan.
“Siasatan mendapati mungkin berlaku penyelewengan dalam urusan itu, termasuk jumlah berat padi yang dijual di kilang tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani.
“Terdapat resit pembelian padi dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan menggandakan jumlah berat padi yang dijual,” katanya sumber itu kepada BH.
SPRM masih meneliti jumlah sebenar ketirisan subsidi yang berlaku berdasarkan jumlah subsidi yang diperuntuk kerajaan ketika ini, iaitu RM600 juta setahun.
Dalam operasi itu, SPRM turut mengesan penyelewengan dengan mencampurkan beras tempatan dengan beras import, untuk dijual dengan harga beras import.
Katanya, tindakan itu menguntungkan pengilang memandangkan harga import tidak dikawal oleh kerajaan, berbanding beras tempatan.
“SPRM kini juga menyiasat sikap pengilang yang menyimpan dan menyorokkan beras tempatan yang mungkin menjadi punca kekurangan beras tempatan.
“Mereka ini kononnya menunggu pelarasan harga oleh kerajaan dan memberi alasan, beras itu disimpan disebabkan tiada ejen yang mahu membeli beras itu,” katanya.
Dalam perkembangan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tindakan yang diambil SPRM dalam menyiasat ketirisan pengedaran beras negara, di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, SPRM melihat dua aspek siasatan iaitu berkaitan kesalahan jenayah dan juga aspek tatakelola dalam agihan subsidi. -Media Perpaduan