SKIM insurans percuma Selangor, Insan, tidak menyalahgunakan maklumat peribadi pelanggan seperti ditetapkan bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara berpendapat pengguna dengan rela memberikan data peribadi mereka melalui aplikasi Wavpay.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, individu berminat dengan skim insurans itu perlu menyemak kelayakan mereka di laman sesawang Insan, mendaftar di aplikasi Wavpay, memuat naik gambar sendiri bersama kad pengenalan untuk pengesahan serta bersetuju dengan terma dan syarat.
“Dengan melengkapkan proses di atas, individu tersebut memberi kelulusan penggunaan data mereka bagi tujuan mendapatkan perlindungan insurans/takaful di bawah skim Insan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Anwar menjawab soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut) bila dan apakah tindakan akan diambil terhadap pihak terbabit dalam “skandal” Insan.
Terdahulu, ketua pembangkang itu mempersoalkan sikap Anwar mendiamkan diri berhubung “skandal” itu selepas beberapa individu mengadu didaftarkan secara automatik untuk Insan tanpa kebenaran mereka.
Insan adalah inisiatif kerajaan Selangor menyediakan perlindungan insurans kemalangan peribadi secara percuma kepada rakyat negeri itu berumur 30 hari hingga 80 tahun.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi sedang meneliti aduan penyalahgunaan data peribadi bagi skim itu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, kerajaan negeri mendaftarkan penduduk Selangor untuk skim itu dengan data diperoleh daripada daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya.
Beliau berkata, polisi insurans itu hanya akan ditaja jamin selepas individu terbabit bersetuju dan memuat naik gambar swafoto serta kad pengenalan mereka. -Media Perpaduan