Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi membidas dan mempersoalkan laporan berita portal Malaysiakini mengenai tinjauan pendapat orang ramai siapa menteri yang wajar digugurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu membidas portal tersebut yang menggunakan tajuk “Tinjauan pendapat minta Anwar gugur Zahid dari Kabinet”.

“Apa muslihat Malaysiakini buat temubual rawak siapa menteri yang wajar gugur? Ini kerana kesimpulannya dirumus dengan tajuk yang bias.

“Kalau mahu buat ‘survey’ terhadap isu yang serius mestilah empirikal. Tajuk kesimpulan pula jangan ada udang di sebalik batu,” katanya.

Mohd Puad berkata, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri terus jadi mangsa “character assassination”.

Tegasnya, membunuh karakter Ahmad Zahid akan membunuh keberadaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika Kerajaan Perpaduan lemah, maka mudahlah kerja tebuk atap diteruskan,” katanya.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan laporan berhubung tinjauan rambang di sekitar Lembah Klang untuk mengetahui pendapat mengenai menteri mana perlu diganti, dikekal atau dibawa masuk ke dalam Kabinet.

Dalam laporan itu, nama Ahmad Zahid paling kerap disebut sebagai menteri yang patut digugurkan daripada barisan jemaah menteri. – Media Perpaduan