Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

WISMA Putra sedang berusaha membawa keluar Dr Nurul Ain Latif yang kini berada dalam kancah perang di Semenanjung Gaza, Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya telah menyelaras proses evakuasi termasuk dengan mendapat kerjasama Kedutaan Filipina di sana untuk membawa keluar Dr Nurul Ain.

Beliau berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Amman sudah dapat menghubungi Dr Nurul Ain yang berasal dari Kota Bharu dan berkahwin dengan warga Palestin.

“Mereka berada di tempat selamat. Kita juga sedang berusaha melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain.

“Sehingga kini, kita mendapat kerjasama kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tuan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Dalam pada itu, Dr Zambry mengesahkan lima rakyat Malaysia berada di negara yang dilanda konflik itu termasuk seorang ibu dengan tiga anak yang memegang pasport Malaysia.

Semalam Wisma Putra mengesahkan lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita, selain seorang ibu bersama tiga anaknya yang berada di Tebing Barat ketika ini. –Media Perpaduan