UTUSAN Khas Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour, mengecam Israel kerana sedang membunuh rakyat Palestin beramai-ramai di Gaza.
Beliau membidas serta mengecam Israel melakukan ‘jenayah perang’ dengan menyekat bekalan makanan, elektrik, air ke Gaza supaya penduduk Palestin mati kebuluran.
Riyad berkata, pertempuran setakat ini mengorbankan ribuan nyawa dan sekatan bekalan sepenuhnya ke atas Palestin itu umpama melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’.
“Penghapusan manusia secara terang-terangan dan percubaan untuk mengebom rakyat supaya tunduk, menggunakan kelaparan sebagai kaedah peperangan dan untuk menghapuskan kewujudan negara mereka adalah tidak kurang kepada tindakan pembunuhan beramai-ramai.
“Perbuatan ini adalah jenayah perang,” tulis Riyad dalam surat kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), lapor Buletin TV3.
Menteri pertahanan Israel, Yoav Gallant turut dikecam selepas mengumumkan ‘sekatan menyeluruh ‘ bekalan makanan dan bahan api ke Gaza, yang menempatkan 2.3 juta orang.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, beliau ‘sangat tertekan’ dengan pengumuman Israel mengenai pengepungan sepenuhnya ke atas gaza.
“Keadaan kemanusiaan di Gaza amat teruk sebelum permusuhan ini, dan kini ia hanya akan menjadi lebih buruk,” katanya. -Media Perpaduan