KERAJAAN PAS Terengganu dibidas kerana usaha menjenamakam semula nama “Kampung Cina” kepada “China Town” tidak menunjukkan kebangggaan menggunakan bahasa kebangsaan.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sudah elok menggunakan bahasa Melayu kenapa perlu ditukar ke Bahasa Inggeris.
Malah, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu membidas Kerajaan Terengganu yang hanya menukarkannya untuk tujuan komersil semata-mata.
“Harakahdaily melaporkan kerajaan Terengganu akan menjenamakan semula ‘Kampung Cina’ kepada ‘China Town’ kerana lebih komersil bagi menarik pelancung luar.
“Elok-elok nama dalam Bahasa Melayu tiba-tiba mahu dijenamakan kepada bahasa Inggeris?
“Di manakah kebanggaan kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Adalah nilai komersil hanya pada Bahasa Inggeris?
“Adakah pelancong luar datang melancong kerana namanya dalam Bahasa Inggeris atau kerana ingin melihat budaya dan bahasa setempat?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Khairuddin berkata perkataan Cina yang merujuk kepada keturunan, tidak sewajarnya ditukar kepada China yang membawa maksud negara.
Katanya, apakah Kerajaan PAS Terengganu mahu mengiktiraf negara China.
“Saya berharap kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh PAS mengekalkan nama asal ‘Kampung Cina’ bagi mengekalkan nama-nama kampung dalam bahasa Kebangsaan.
“Apatah lagi keturunan Cina di Terengganu rata-rata bertutur bahasa Melayu dialek Terengganu dengan fasih. Malah mereka turut berbangga dengan Bahasa Melayu mereka,” katanya. -Media Perpaduan