Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Perpaduan memperkenalkan Ekonomi Madani bagi menggantikan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) kerana ia memiliki kerangka pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan selari dengan situasi ekonomi semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, WKB 2030 yang diperkenal sebelum ini dilihat tidak menekankan mengenai soal tata kelola serta permasalahan semasa negara.

“WKB 2030 itu hanya kerangka global, namun ia mempunyai kelemahan-kelemahan seperti tidak memberi penekanan kepada masalah semasa termasuk dalam isu kos sara hidup.

“Dasar tersebut juga tidak membangkitkan mengenai isu-isu umpamanya apakah yang kita warisi, berapa banyak hutang, defisit yang kerajaan sekarang tanggung. Oleh itu, perancangan sekarang perlu mengambil kira masalah-masalah tersebut.

“Bila merangka apa-apa dasar jangan hanya berpuas hati dengan istilah-istilah yang memukau daripada acuan Barat tetapi ada kekuatan untuk memberikan takrifan dan nilai tempatan yang berakar kepada kefahaman negara dan akhlak di negara kita,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai perbezaan Ekonomi Madani dan WKB 2030 menurut saranan Bank Dunia.

Tambah beliau lagi, negara berhadapan dengan postnormal times dengan keadaan tidak terjangka, bertentangan dan kadang kala berlaku dalam keadaan permasalahan serentak dan keperluan untuk memperkenalkan kerangka dasar baharu harus merangkumi keseluruhan nilai tersebut.

“Ekonomi Madani yang diperkenal adalah kerangka bertunjangkan kemampanan ekonomi dan pembangunan fiskal dan diperluaskan dengan isu nilai perpaduan ihsan yang tidak ditekan seperti dalam WKB 2030,” jelas beliau.

Sumber: Kosmo Online