Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PEGAWAI penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat peguam mewakili Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Serbuan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan dijalankan suruhanjaya terbabit terhadap menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang ketika ini masih berada di luar negara.

“Ya, ada serbuan. Mereka ambil dokumen berkaitan kes Muhammad Adlan, menantu Tan Sri,” kata satu sumber Bersatu dipetik BH, hari ini.

Sementara itu, semakan dengan pejabat peguam yang diserbu SPRM turut mengesahkan tindakan itu, namun firma itu enggan mendedahkan tujuan atau maklumat lanjut mengenai serbuan tersebut.

Petugas sebuah lagi firma guaman yang turut diserbu SPRM itu, enggan mengulas mengenai tindakan terbabit.

“Kami tidak dapat berkongsi apa-apa maklumat mengenai perkara itu,” katanya ringkas.

Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan seramai 12 pegawai SPRM terbabit dalam serbuan itu.

Sumber portal itu mendakwa pegawai SPRM menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen firma diserbu mereka. -Media Perpaduan