Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Anwar Ibrahim, menerima panggilan telefon daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, semalam.

Perkara itu didedahkan Agensi Akhbar Saudi (SPA) yang melaporkan, Perdana Menteri dan Putera Salman menyemak hubungan dua hala yang istimewa, termasuk peluang pembangunan kedua-dua negara.

“Selain itu, beberapa isu yang menjadi kepentingan bersama telah dibincangkan.

“Semasa panggilan itu, hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan peluang untuk membangunkannya telah dikaji semula,” menurut laporan itu.

Malaysia dan Arab Saudi menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1961.

Arab Saudi ialah rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Timur dengan jumlah perdagangan bernilai lebih AS$10 bilion pada 2022.

Pegawai Malaysia telah menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dan meneroka bidang kerjasama baharu dengan Arab Saudi.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau mengadakan mesyuarat terawal dengan Menteri Pelaburan UAE, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADQ, Mohamed Hassan Al Suwaidi di Abu Dhabi.

Beliau dimaklumkan bahawa ADQ merupakan syarikat pelaburan berfokuskan kelestarian yang berpangkalan di sana.

Perdana Menteri yakin Malaysia akan mendapat manfaat besar daripada menjadi sebahagian daripada destinasi pelaburan masa depan ADQ sekali gus memasarkan Malaysia sebagai pangkalan atau hab mereka ke pasaran ASEAN.

“Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-UAE sememangnya kukuh dari dahulu lagi, dan saya berharap pertemuan ini bakal menguatkan lagi hubungan antara kita.

“Saya yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga sedang bertiwikrama (berusaha) dalam menambah baik landskap pelaburan dan perdagangan di Malaysia,” katanya. -Media Perpaduan