PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan operasi pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru, di ibu negara ditangguhkan berkuatkuasa hari ini dengan lanjutan sehingga hujung bulan ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin yang berkata, penangguhan itu akan memberi ruang Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur mengadakan rundingan dengan pihak berwajib.
“Saya sahkan PM telah mengarahkan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru ditangguhkan, yang sepatutnya diadakan hari ini.
“Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga memberi arahan bahawa penduduk diberi tempoh sehingga 31 Oktober tahun ini. Ini adalah lanjutan, yang sebelum ini mereka diberi tempoh sehingga 19 Okt untuk pindah keluar.
“Kami harap Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur meneruskan rundingan dalam tempoh yang diberi. Mereka juga dialu-alukan sekiranya mempunyai cadangan alternatif,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.
Pagi tadi, sekumpulan wakil agensi kerajaan dan pihak pemaju bersama trak polis datang untuk menampal notis pengusiran dan pengosongan tersebut dipercepatkan.
Proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah bermula sejak 2016 dan terpaksa dibuat untuk proses pembangunan semula dan ia melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru. -Media Perpaduan