Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan pada Mac hasil pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan, termasuk Kementerian kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Penguatkuasaan akta ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Perkara ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada (golongan) bankrap untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara pindaan dicadangkan termasuk peruntukan berkait pelepasan bankrap. Seksyen 33C dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh individu bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwal mereka.

Senarai individu bankrap yang layak dilepaskan tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang juga dipinda untuk memasukkan dua kategori baharu, iaitu individu berusia 70 tahun ke atas, dan mereka yang diiktiraf sakit mental bawah Akta Kesihatan Mental 2001.

Azalina berkata, kewajipan ketua pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan.

Jelasnya, akta itu turut membuat semakan nilai terhadap dua perkara berikut – had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang, dan had nilai bagi kes yang layak untuk pentadbiran ringkas.

Azalina berkata, penguatkuasaan pindaan ini dibuat seiring dengan Dasar Peluang Kedua untuk membantu individu bankrap menambah baik status kewangan mereka.

“Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas akta ini berkuat kuasa.

“Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi,” katanya. -Media Perpaduan