Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN bakal mengumumkan satu skim untuk menoktahkan kemiskinan tegar hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan telah mengenal pasti formula terbaik untuk menghapuskan kemiskinan tegar di kalangan rakyat dan akan diumumkan tidak lama lagi

“Saya tahu (kerajaan tak ada masa lama lagi)… tetapi kita ada formulanya cuma kita tidak umum lagi formula.

“Kita akan maklum dari semasa ke semasa. Ada kaedahnya (untuk hapuskan miskin tegar). Tetapi bukan nak bagi tanah jadi peneroka Felda. Tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai di Kampung Hayat Simpang Pelangai, dekat Bentong malam tadi.

Membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama pada tahun pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Malah Perdana Menteri pernah berkata, adalah sesuatu yang mengaibkan apabila negara seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai hasil, namun masih gagal menyelesaikan isu kemiskinan tegar dalam kalangan rakyatnya.

Dilaporkan, bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar telah berkurangan daripada 124,744 kepada 118,217 orang bagi tempoh 15 Disember 2022 hingga 15 Mei lalu, manakala menurut data eKasih, KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 KIR dalam tempoh yang sama. -Media Perpaduan