Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mendapat peruntukan terbesar Belanjawan 2024.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata antara isu yang akan difokuskan dalam Belanjawan Madani kedua itu bagi KKM ialah pembinaan klinik kesihatan dan mengatasi masalah kesesakan hospital kerajaan di seluruh negara.

“Dalam Belanjawan Madani, isu kesihatan dan pendidikan kita akan terus utamakan. Fokus utama ialah kemudahan kesihatan termasuk rumah sakit.

“Ada yang kata sejak Anwar jadi PM, kebanyakan hospital sesak, sesak ini dah lama berlaku, jadi kita akan uruskan dengan baik,” ucapnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran skim perubatan Madani dan program Madani Afiat di Ipoh hari ini.

KPM menerima RM55.2 bilion dalam bajet semakan kerajaan persekutuan 2023 dibentangkan Anwar pada 24 Februari lalu.

Sementara itu, KKM diperuntukkan RM36.3 bilion, termasuk hampir RM3 bilion bagi pelantikan lebih 1,500 kakitangan kesihatan tetap dan kontrak.

Menyentuh berkaitan rasionalisasi subsidi, Anwar berkata, ia perlu disusun supaya bantuan subsidi kerajaan dimanfaatkan golongan benar-benar memerlukan. Ini katanya termasuk caj rawatan hospital kerajaan.

“Kena kaji, kalau nak terus bagi subsidi, yang 10% (golongan berpendapatan tinggi) kita tak perlu bagi subsidi, macam hospital, caj rendah, percuma pun ada, tapi kita bagi pada semua, salah kah golongan paling kaya kita kenakan bayaran lebih tinggi,” katanya. -Media Perpaduan