Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEORANG sukarelawan polis wanita ditahan semalam selepas disyaki membuat komen mengaibkan dalam satu hantaran di Facebook.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) menerima laporan dibuat seorang pegawai kanan polis yang melayari laman sosial itu dan menemui satu hantaran ditularkan pada 10.22 malam.

“Terdapat satu komen dibuat seorang pemilik akaun yang merujuk kepada seseorang atau individu yang dipercayai bermotif mengaibkan dan keterlaluan,” katanya dalam kenyataan, hari inim

Kamarul menjelaskan, siasatan awal mendapati wanita yang membuat komen itu berkhidmat di Mersing dan semakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah dihantar bagi siasatan lanjut ke atas pemilik akaun terbabit.

“Polis kemudian menahan wanita berusia 39 tahun itu pada 10.58 malam semalam di kawasan Endau, Mersing,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Justeru, Kamarul menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika menggunakan media sosial agar tidak mengeluarkan ayat menghina sesiapa sehingga mendatangkan kegusaran masyarakat.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang menjadi trend terkini bertanyakan mengenai apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut nama seseorang dikenali.

Berdasarkan hantaran tular itu yang menanyakan tentang “Bila sebut Madani, apa yang terlintas di fikiran anda?”

Suspek kemudian dilihat meninggalkan komen bersifat mengaibkan yang dipercayai ditujukan kepada seseorang.

Bagaimanapun, komen itu dipercayai sudah dipadam. -Media Perpaduan