Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAKU dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih, begitulah yang dapat digambarkan kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) yang berterusan menyalahkan Kerajaan Perpaduan dalam menangani krisis bekalan beras ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian Sim Tze Tzin berkata, PN mengambil kesempatan atas faktor negara sebagai negara pengeluar untuk menghentam kerajaan dan seolah olah tidak faham isu sebenar yang negara pengeluar beras juga menghenti atau mengurangkan eksport komoditi itu ke negara pengguna.

Tegasnya, pemimpin PN perlu cermin diri sendiri kerana ketika mereka menjadi kerajaan selama 33 bulan dulu berlaku krisis bekalan telur ayam, malah PN gagal mengimport telur biar pun tidak berlaku kekurangan telur di peringkat antarabangsa.

“Saya nak bagi nasihat kepada pembangkang untuk melihat dahulu kegagalan mereka menyelesaikan isu kenaikan harga barang semasa mereka menjadi kerajaan.

“Sewaktu menjadi kerajaan (PN) nak selesaikan harga minyak sawit pun mereka gagal nak control, walaupun minyak itu dihasilkan di Malaysia.

“Tidak termasuk dengan kenaikan harga sayur, telur dan barang lain. Ia berlaku atas sebab dasar yang tidak menyeluruh. Sebab itu mereka (PN) dipanggil kerajaan gagal (waktu itu),” katanya dipetik Suara Keadilan.

Justeru, Tze Tzin menegaskan, tuntutan pembangkang untuk menyelesaikan segera krisis beras tidak mungkin boleh dilakukan tanpa meminta negara pengeluar mengeksport.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bayan Baru menjelaskan, langkah Kerajaan Perpaduan melakukan intervensi pasaran boleh melegakan rakyat dalam jangka bendek.

“Kerajaan ketika ini membuat pelbagai langkah drastik dan boleh menyelesaikan masalah beras di pasaran dalam tempoh sebulan ini.

“Berbanding dengan situasi dahulu (isu kenaikan harga barang) kerajaan MADANI jauh lebih prihatin berbanding pentadbiran Muhyiddin,” katanya.

Pada 18 September lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi langkah jangka pendek memberi jaminan bekalan beras putih tempatan dijangka kembali stabil dalam pasaran tempoh masa sebulan.

Langkah intervensi dan pemantauan berterusan telah dilakukan termasuk pelaksanaan Program Khas BPT yang menyaksikan pengilang diminta meningkatkan 20 peratus bekalan beras putih tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek bekalan makanan ruji itu.

Tindakan India menghentikan eksport berasnya ke luar negara, ekoran musim kemarau tidak menentu di negara itu menyebabkan kerajaan mengambil beberapa langkah jangka pendek untuk mengatasi krisis bekalan beras.

India merupakan pengeluar beras terbesar dunia. Selain itu Vietnam yang juga negara pengeluar beras turut mengurnagkan eksport atas faktor cuaca tidak menentu. -Media Perpaduan