YANG di-Pertuan Agong menggesa rakyat mengelak menggunakan perkataan kurang elok ketika berbicara atau menulis di media sosial, kata cacian, nista dan dusta serta fitnah hanya menggugat kestabilan serta keharmonian negara ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat perlu menerapkan akhlak mulia dalam pertuturan, membicara kebenaran, bersikap jujur serta menjauhi fitnah, kata dusta dan pembohongan di media sosial.
“Marilah kita mengambil iktibar dengan kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat daripada budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya.
“Ini kerana selepas kewafatan Rasulullah SAW, fenomena fitnah membawa kepada peristiwa yang amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan Khalifah Islam ketiga, Saidina Uthman Affan,” titah Seri Paduka pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445H/2023 di Putrajaya, hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan hadir ke majlis itu.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri.
Al-Sultan Abdullah bertitah, hakikat fitnah dan tipu daya bukan sahaja menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung, malah menghancurkan keharmonian serta kestabilan sebuah negara.
“Kerana itulah Allah SWT mengingatkan seluruh umat Islam menghindari serta menjauhi orang-orang yang tidak bercakap benar, sebagaimana yang difirmankan dalam Surah Al-Qalam ayat ke-10 hingga 11.
“Justeru, sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, beta ingin menyeru seluruh rakyat beta untuk mencontohi akhlak warisan maknawi Rasulullah SAW yang amat bernilai dan istimewa,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, keperibadian Rasulullah SAW sebagai insan mulia dan seorang pemimpin amat terserlah selain memiliki sifat tawaduk yang tinggi dan tidak suka dipuja.
“Setiap baris tutur kata baginda disulami dengan penuh kesantunan dan memancarkan keperibadian mulia, serta rasa hormat kepada teman bicara dan tidak pernah menuturkan tipu daya, apatah lagi nista kepada pengikut mahu pun penentangnya,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara dengan pelbagai puak dan agamaserta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza.
Malah, sirah Rasulullah SAW mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.
“Dari aspek ekonomi, baginda memberi tumpuan kepada pengurusan sumber dan agihan kekayaan secara cekap, mempelvagaikan sektor ekonomi dan menitikberatkan kepentingan sosial selain merangka program untuk meningkatkan taraf hidup serta sosio ekonomi rakyat.
“Baginda tidak segan silu mendekati golongan terpinggir dalam kalangan mereka yang miskin, lemah dan kurang berada selain berusaha keras membawa golongan ini keluar daripada kesempitan hidup,” titah baginda. -Media Perpaduan