Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TERDAPAT salah faham dan kekeliruan berhubung pelaksanaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang menggunakan kad kredit berkuat kuasa 1 November ini.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dalam kenyataannya mengesahkan vendor bakal dikenakan yuran transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform kod DuitNow QR namun terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan.

“Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami.

“Bagaimanapun, dua jenis e-pembayaran yang berbeza telah disifatkan oleh media sebagai sama, iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.

“Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebuah institusi perbankan tempatan memaklumkan kepada pelanggannya mengenai pelaksanaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang menggunakan kad kredit berkuat kuasa 1 November ini.

Menjelaskan mengenainya, PayNet berkata, seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR.

“Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian MDR pada pembayaran QR. Mulai 1 November, penepian MDR untuk pembayaran DuitNow QR ini akan ditarik balik,” katanya.

Sebaliknya, PayNet menjelaskan, ia menambah yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.

“Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi,” menurut kenyataan itu.

PayNet berkata, MDR terkumpul akan dikongsi antara PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan atau pemeroleh pihak ketiga untuk menampung penyelenggaraan rangkaian serta kos ditanggung oleh bank dan pemeroleh pihak ketiga untuk memperoleh penyertaan peniaga bagi menikmati perkhidmatan ini.

“Sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR telah diketepikan. Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan penularan pandemik COVID-19. Ia bukanlah suatu yuran baharu mahupun caj tambahan,” jelas pengendali DuitNow QR itu.

Pada masa sama PayNet berkata, 1 November ini adalah permulaan kepada penamatan pengecualian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan yang lalu.

Mengenai caj 50 sen pula, PayNet menyangkal dakwaan caj dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga.

Malah, PayNet berkata, dakwaan MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi juga adalah tidak tepat.

“Caj 50 sen itu adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan DuitNow QR peribadi,” katanya.

PayNet turut menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.

Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai.

“Oleh itu, kami tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan,” katanya. -Media Perpaduan