BEKALAN beras putih adalah lebih daripada mencukupi tanpa kerajaan perlu menggunakan bekalan stok penimbal.
Perkara itu disahkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang berkata, pihaknya menyalurkan sebanyak 630,000 tan metrik beras putih pada Januari hingga Ogos lalu.
Dalam kenyataannya, Bernas berkata, sebagai pembeli padi yang terakhir, merupakan peningkatan sebanyak 38 peratus lebih tinggi berbanding purata jualan bulanan bagi tempoh lima tahun lalu.
Bagaimanapun, Bernas menjelaskan, permintaan ke atas beras putih tempatan semakin meningkat disebabkan perbezaan harga beras putih tempatan dan import.
“Peningkatan ini disebabkan peralihan permintaan daripada beras putih import kepada beras putih tempatan oleh pengguna, pembekal kontrak dan pemain-pemain industri makanan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Bernas menjelaskan, purata pegangan pasaran padi tempatan syarikatnya hanya sekitar 10 peratus, selebihnya dibeli dan diproses kilang swasta.
Katanya, Bernas sentiasa komited dan menyokong semua program intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menjamin bekalan beras putih. -Media Perpaduan