Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HANYA orang Felda yang lebih mengetahui apa yang berlaku di kawasan itu termasuk kekuatan Felda itu sendiri, kata Datuk Amizar Abu Adam.

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai berkata, sebagai anak Felda beliau tahu senario yang berlaku dalam Felda itu sendiri yang masih menjadi kubu kuat BN.

“Yang dua-dua (calon BN, PN) orang Felda. Kalau dia kata kubu kuat, saya orang Felda, saya tahu kekuatan Felda di mana.

“Insya-Allah Kita saksikan nanti…kita tunggu,” katanya ketika ditemui di Pelanga, dekat Bentong.

Amizar berkata demikian membidas dakwaan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Felda bukan lagi kubu kuat Umno mahu pun BN.

Sebelum ini, ketika berkempen Tuan Ibrahim mendakwa Felda kini bukan lagi kubu kuat BN yang dipertahankan sejak zaman berzaman.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) telah berjaya menembusi beberapa kerusi Parlimen yang mempunyai kawasan Felda dan merupakan kubu kuat BN.

Ditanya mengenai sokongan Orang Asli terhadap BN, Amizar berkata, masyarakat itu kekal setia dengan parti berkenaan.

“Dia (Orang Asli) masih teringat, terkenang akan jasa BN,” katanya lagi.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Sept sebagai hari penamaan calon dan 7 Okt sebagai hari pengundian. -Media Perpaduan