SEKARANG giliran Radzi kena jawab macam mana Setpol dia boleh kena siasat pasal projek RM80 juta, demikian kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mendesak Datuk Dr Radzi Jidin untuk menjawab bagaimana setiausaha politik beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan, boleh disiasat berkaitan satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta.
Di sebalik penafian Radzi tidak terlibat dalam kes itu, Mohd Puad membidas Radzi kerana mustahil tidak tahu mengenai projek di bawah kementeriannya dulu.
“Itu projek di bawah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia). Mana mungkin menteri tidak tahu. Kalau dia tidak tahu, Radzi bukan menteri yang bagus. RM80 juta jumlah yang besar. Itu duit rakyat.
“Radzi histeria ketika PMX jelaskan isu DNAA Zahid (Hamidi) di Parlimen. Kini gilirannya beri penjelasan pasal Setpol dia. Tidak perlu tayang isteri, anak ulamak besar di Kedah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sabtu lalu media melaporkan, bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan antara dua individu direman disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Susulan itu, Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menafikan terlibat dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta.
Ahli Parlimen Putrajaya itu menjelaskan, dakwaan mengaitkan isterinya Datin Balkis Zakaria sebagai proksi bagi sebuah syarikat yang terlibat dengan projek tersebut juga tidak benar sama sekali.
“Saya ingin tegaskan tuduhan terkandung dalam mesej tular di WhatsApp mengaitkan isteri saya dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah tidak benar sama sekali.
“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan tidak mempunyai kaitan mahu pun kepentingan dalam syarikat yang dinyatakan,” katanya.
Pada masa sama, Radzi mengesahkan pegawainya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes berkenaan.
Beliau mendakwa, penahanan bekas setiausaha politiknya, dilakukan kononnya atas alasan beliau terlibat dalam perkara tersebut dan berdasarkan suatu mesej WhatsApp karut yang tular di media sosial. -Media Perpaduan