Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SATU mekanisme terbaik sedang diteliti oleh Kerajaan Perpaduan bagi ‘memujuk’ golongan profesional warga Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali menabur bakti di tanah air.

Kerajaan Madani sedang meneliti kaedah terbaik untuk menarik golongan profesional warga Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali menyumbang bakat dan pengetahuan di tanah air.

Menerusi hantaran di Facebook, perkara itu dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi dialog dan makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di New York, minggu lalu.

“Saya dan Azizah amat berbesar hati dapat bertemu dan berdiskusi bersama mereka (rakyat Malaysia) dalam majlis yang cukup santai.

“Ruangan ini saya menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan sedang meneliti kaedah untuk menarik rakyat Malaysia yang mahir untuk menyumbang kepada negara dalam usaha menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau brain drain yang sedang dihadapi negara ketika ini,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri memberi jaminan berkaitan transformasi ekonomi dan pentadbiran Malaysia pada ketika ini dalam situasi dinamik dan mewujudkan potensi peluang pekerjaan yang bersesuain dengan kelayakan dan pengalaman golongan profesional tersebut.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan memberi jaminan kepulangan mereka nanti tidak akan menjadi sia-sia.

“Saya maklumkan bahawa Malaysia punyai potensi yang amat besar untuk bangkit kembali sebagai sebuah ekonomi dinamik.

“Ia berikutan negara mempunyai sumber yang diperlukan, tenaga kerja berkelayakan, selain punyai dasar seperti Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk mendukung matlamat berkenaan,” katanya. -Media Perpaduan