JANGAN bersikap gopoh apabila melibatkan perkara yang berkaitan kemanusiaan.
Perkara itu diingatkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang berkata, semua pihak tidak bertindak gopoh dengan mengeluarkan kenyataan dan cadangan melarang penjualan beras putih tempatan (BPT) kepada warga asing.
Tegasnya, isu tersebut tidak seharusnya dibangkitkan kerana membabitkan hak kemanusiaan.
“Bagi saya ini soal kemanusiaan, mereka juga perlu makan dan dalam suasana begini, jangan kita gopoh (keluar cadangan) sebab kalau rakyat kita berada di luar negara dan mereka tidak dibenarkan membeli beras yang murah, kita juga akan terasa.
“Ini soal hak asasi manusia dan saya rasa mereka perlu terus diberi izin untuk membeli beras di negara ini, termasuk beras tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia Ke-25, di Putrajaya, hari ini.
Pada masa sama, Mohamad berkata, semua isu berbangkit berkaitan bekalan beras akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan supaya Kabinet dapat berbincang dan mencari langkah menangani isu berkenaan.
“Saya nak lihat agenda (mesyuarat Kabinet terlebih dulu), tetapi saya akan kemukakan perkara baharu yang berlaku (berkaitan isu beras) yang saya akan sampaikan dalam Kabinet,” katanya. -Media Perpaduan