PERDANA Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada November ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecuali Myanmar, pemimpin ASEAN akan mengadakan mesyuarat pemimpin APEC yang turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS Joe Biden.
Anwar yang ditemui media Malaysia
di akhir kunjungan empat hari beliau ke AS untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-78 berkata, Google telah meminta bertemu beliau pada acara APEC itu.
Jelas beliau yang juga Menteri Kewangan itu yang mengesahkan Google antara syarikat 500 Fortune ingin mengadakan pertemuan berkenaan.
APEC yang ditubuhkan pada 1989, merupakan satu forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat di Asia Pasifik.
Tema APEC kali ini adalah ‘Creating a Resilient and Sustainable Future for All’ (Mencipta Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua).
Selain itu, 21 anggota Ekonomi APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.
Negara anggota APEC adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam. -Media Perpadua