LEBIH RM37.4 bilion komitmen pelaburan merentasi pelbagai sektor teknologi digital diperoleh Malaysia setakat Ogos 2023, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) itu berkata, ianya telah menyaksikan peluang penciptaan sekurang-kurangnya 15,895 pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata, pencapaian luar biasa itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja utuh Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara untuk memacu ekonomi digital.
“Tambahan pula, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya pada pelancaran Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 di Petaling Jaya, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz.
Reputasi Malaysia yang mantap sebagai destinasi perniagaan untuk pelabur teknologi yang kemudiannya digabungkan dengan lokasi strategik sebagai pintu masuk ke ASEAN Fahmi berkata, telah menjadikan Malaysia destinasi yang sempurna untuk perniagaan yang ingin berkembang maju di rantau dinamik ini.
Jelasnya, kerajaan memberikan penekanan yang ketara dalam memperkasa ekonomi digital dengan digital kini membentuk hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menandakan kepentingannya yang semakin meningkat dalam landskap ekonomi negara.
“Visi kami melangkaui membangunkan industri digital. Kami berhasrat untuk menggalakkan penyertaan ekonomi bagi semua segmen masyarakat melalui platform digital dan model perniagaan,” katanya. -Media Perpaduan