Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN Perpaduan akan Kerajaan India bagi menyatakan hasrat agar negara itu terus mengeksport beras putih kepada Malaysia

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang berkata, beliau akan
mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India menerusi perbincangan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Katanya, langkah itu bagi memastikan bekalan beras putih terus mencukupi buat rakyat negara ini.

“Kita sekarang sedang berhubung bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk pergi ke sana supaya kita boleh berbincang secara G2G.

“Jika mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras basmathi ada, boleh import banyak, tetapi beras basmathi ini mahal.

“Dengan G2G ini, dapatlah kita minta mereka meneruskan untuk eksport beras putih ke Malaysia, itu harapan kita,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, Muar, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing; Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Justeru, Mohamad berkata, pihaknya berharap mendapat maklum balas segera bagi membolehkan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari India itu dilakukan secepat mungkin, sebelum hujung tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, meskipun isu bekalan beras putih kini menjadi masalah dunia, turut memberi kesan kepada Malaysia, namun bekalan beras di negara ini masih mencukupi.

“Bekalan beras putih kita masih mencukupi, cuma jika harga beras yang diimport itu tinggi, menyebabkan orang mencari beras tempatan secara mendadak dan berlakunya sedikit kekurangan di beberapa tempat.

“Tetapi, kita atasi masalah itu, sekarang ini kita lakukan tuaian di Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), saya tidak ingat berapa jumlah kampit beras yang akan dikeluarkan, tetapi dalam masa tidak sampai sebulan ini, ia akan berada di pasaran dan sekarang pun kita ada cuba untuk ‘top-up’ mana-mana yang berlaku kekurangan.

“Selain India, kita boleh dapatkan bekalan beras putih ini dari Pakistan, Vietnam atau Thailand, tetapi semua pun mengalami kenaikan harga dan lebih parah sekarang ini isu kekurangan beras menjadi masalah dunia dan kita ini terjejas, tetapi tidak seteruk berbanding negara lain,” katanya. -Media Perpaduan