MESKIPUN Dewan Rakyat memperuntukan imuniti kepada ahlinya untuk ‘kebal’ berkata apa sahaja, namun setiap Ahli Parlimen masih dibatasi dengan prinsip Rukun Negara yang kelima.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, seorang Ahli Parlimen perlu menunjukkan tauladan yang baik selari dengan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ di Dewan Rakyat sekali gus menjaga kemuliaan Institusi Parlimen yang merupakan platform perbincangan suara rakyat dan negara.
Jelasnya, setiap Ahli Parlimen perlu bijak berhujah menggunakan bahasa yang baik selain mengelakkan menyakiti hati sesiapa sahaja agar dapat menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.
“Kesopanan dan Kesusilaan prinsip Rukun Negara ini mengajar kita supaya jadi manusia yang beradab, masyarakat Malaysia yang bertamadun.
“Sebenarnya di dalam Parlimen, sesiapa pun mesti berbahasa dengan bahasa yang cantik, kristal komunikasi, tidak menyakiti hati sesiapa pun selari dengan prinsip Rukun Negara yang kelima.
“Jadi setiap Ahli Parlimen jangan abaikan prinsip Rukun Negara yang kelima,” katanya kepada Media Perpaduan.
Beliau berkata demikian merujuk kekecohan di Dewan Rakyat minggu lepas yang menyaksikan tindakan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin yang hilang pertimbangan diri sehingga tergamak mengeluarkan tuduhan qazaf terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas mengenainya, Dr Azhar yang juga Ketua Umno Bahagian Beruas berkata, sikap keterlaluan Dr Radzi sehingga lupa penghayatan prinsip Rukun Negara yang kelima itu, menunjukkan beliau tidak matang dan ciri-ciri belum layak bergelar Ahli Parlimen.
“Kalau wakil rakyat menunjukkan sikap dia tak faham Rukun Negara itu, maaf cakaplah dia sebenarnya tidak layak menjadi wakil rakyat dan pemimpin.
“Seseorang pemimpin itu mesti beradab, penuh sifat ketamadunan, kita tidak mahu kelakuan buruk itu ditiru rakyat apatah lagi golongan pelajar,” katanya.
Justeru, Dr Azhar menyeru Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri memperkasakan kembali ‘roh’ kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ke dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.
“Rukun Negara kita kena perkasakan semula seperti dahulu supaya dapat mendiddik rakyat, diperkasakan, difahami, dihayati dan difalsafahkan.
“Saya berharap PMX dan pemimpin Kerajaan Perpaduan dapat membuat sesuatu agar roh Rukun Negara tersemai di setiap sanubari rakyat Malaysia, rakyat yang beradab itu selari dengan konsep Malaysia Madani gagasan Perdana Menteri,” katanya. -Media Perpaduan
.