Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam berdepan saingan dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas seperti yang diumum Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail pada hari penamaan calon di Dewan Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong, hari ini.

Amizar, 53, yang berasal dari FELDA Chemomoi dalam DUN Pelangai akan ditentang calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

PRK Pelangai akan diadakan ekoran kematian Datuk Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Seramai 16,456 pengundi berdaftar di Pelangai akan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada 7 Oktober ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH – 2,031 undi) dan Isa Ahmad (Pejuang – 65 undi).

DUN Pelangai mula dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia menjadi kubu kuat Umno dan BN.

Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob menjadi wakil rakyat di DUN Pelangai selama lapan penggal (1986-2022). -Media Perpaduan