SEBANYAK RM300,000 diperuntukkan kepada tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil untuk projek Penyelenggaraan Institusi Pendidikan (PIP) dan Penyelenggaraan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan (KPM), Lim Hui Ying berkata, peruntukan khas kepada SJK Cina dan SJK Tamil disalurkan bagi bantuan penyelenggaraan tandas, bilik darjah dan kemudahan lain untuk keperluan warga sekolah.
“Lawatan kerja ke SJK (C) Manchis, SJK (T) Ladang Renjok dan SJKC Telemong adalah bagi memantau pelaksanaan projek infrastruktur itu yang perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan daripada kelulusan projek kepada kontraktor.
“KPM akan memastikan bangunan sekolah, peralatan sekolah dan persekitarannya sentiasa selamat, selesa, bersih dan ceria, mewujudkan iklim fizikal sekolah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mengulas lanjut selepas mengadakan lawatan kerja di Dewan SJK Telemong, dekat Bentong, Hui Ying berkata, SJKT Ladang Renjok (SBK) diluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menaiktaraf kemudahan asas seperti bilik darjah, tandas dan kemudahan lain.
Jelasnya, SJKC Manchis pula menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menaiktaraf tandas dan RM30,000 untuk menaik taraf pagar sekolah dan gelanggang tertutup bola keranjang.
“SJKC Telemong turut mendapat peruntukan RM100,000 merangkumi RM70,000 menaiktaraf tandas dan RM30,000 memperbaiki salur air pada bumbung bangunan,” katanya. -Media Perpaduan