MALAYSIA berjaya menyekat hampir dua bilion panggilan dan 581 juta perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mencurigakan sampai kepada pengguna dalam negara.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, sekatan itu dilaksanakan menerusi bantuan penyedia perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) bagi menangani isu penipuan dalam talian.
Jelasnya, dari 2020 hingga April 2023, kementerian juga menerima sejumlah 8,499 aduan awam berkaitan aktiviti penipuan dan dalam tempoh sama, berjaya menyekat 3,370 laman phishing.
“Malaysia sedang menguruskan maklumat salah, terutamanya daripada media baharu dengan menumpukan kepada 2P iaitu pencegahan dan perlindungan.
“Kami banyak melabur dalam mendidik dan memperkasakan orang ramai dengan pengetahuan dan alatan dalam talian untuk melindungi diri mereka sendiri,” ucapnya pada sesi pleno Persidangan Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) Da Nang, hari ini.
Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke AMRI ke-16 di Furama Resort Danang di Da Nang yang bermula secara rasmi hari ini.
Sementara itu, bagi menangani isu maklumat tidak tepat, salah informasi dan berita palsu, Fahmi berkata Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Peguam Negara untuk mewujudkan penyelarasan antara agensi bagi menguruskan berita tidak disahkan dalam media baharu.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan maklumat yang disampaikan kepada orang ramai boleh dipercayai dan benar kerana perkara ini boleh membawa bencana kepada individu, komuniti dan negara, terutamanya dalam kes media baharu yang menyaksikan kemajuan pesat. -Media Perpaduan