Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

STRATEGI Kerajaan Perpaduan untuk membangunkan semula industri tebu disifatkan ibarat menyediakan payung sebelum hujan.

Malah, menurut Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail, tindakan kerajaan itu harus dipuji kerana dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap gula mentah import yang berada pada tahap 100 peratus ketika ini.

Jelasnya, selain isu beras, masalah kekurangan gula juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Mengulas mengenainya, Dr Azman berkata, faktor pandemik dan perubahan iklim dunia serta perang Rusia-Ukraine menjadi punca kenaikan harga makanan dunia yang meningkat secara mendadak.

Justeru, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Saya difahamkan ada strategi dari segi meningkatkan (pengeluaran) gula tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kita kepada gula import.

“Seperti beras, faktor kekurangan gula berlaku akibat iklim, pandemik dan perang di timur Eropah. Cumanya isu gula tidak seteruk masalah beras yang mempunyai permintaan tinggi oleh pengguna,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Pada 14 Mac lalu, media melaporkan, Kementerian Ekonomi bercadang untuk membangunkan semula industri penanaman dan pemprosesan tebu sebagai alternatif bagi memenuhi permintaan domestik.

Selepas penutupan operasi ladang tebu Chuping pada tahun 2012, bekalan gula negara diimport sepenuhnya dari Brazil.

Tindakan tersebut juga menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih bagi memenuhi permintaan negara.

Selain itu, Dr Azman mencadangkan kerajaan tidak bergantung kepada industri gula semata-mata.

Sebaliknya, jelasnya, tanaman alternatif gula perlu dikembangkan seperti tumbuhan stevia yang boleh hidup subur dalam iklim tropika di Malaysia.

“Penggunaan stevia serta lain-lain pemanis umumnya adalah lebih sihat berbanding gula,” kata Dr Azman lagi -Media Perpaduan