Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Yusop Apdal berkata, kerajaan dalam usaha mempertingkatkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memilih Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Kolej Komuniti Segamat sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Dalam kaedah kita memperkasa TVET kita mempermudah, keduanya membuat satu pendekatan secara program iaitu kita akan fokuskan kepada program seperti mikro ‘credential’ dan kita ada program yang kita khususkan kepada keperluan industri juga dan kita telah di peringkat kementerian telah bersetuju untuk memulakan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui elepas Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, hari ini.
Pada majlis tersebut, Mohammad Yusof menyampaikan sijil dan diploma kepada seramai 1,081 orang graduan melibatkan Kolej Komuniti Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
Pada masa sama, beliau menegaskan, KPT sedang berusaha untuk memperkasakan kolej-kolej komuniti supaya menjadi institusi yang dapat mengupayakan masyarakat setempat.
“Kita dalam proses memastikan masyarakat dan rakyat buat penilaian yang baik terhadap apa yang ditawarkan oleh kolej komuniti.
“Ramai graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat kerja yang lebih baik dan diterima pemain industri.
Secara statistik, sebanyak 96 peratus graduan kolej komuniti mendapat pekerjaan setelah menerima diploma dan sijil masing-masing,” katanya. -Media Perpaduan