DATUK Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya meminta
Ahli Parlimen pembangkang meneruskan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, jika mahu peruntukan diberikan kepada mereka.
Perdana Menteri mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak angkuh dan sombong, sebaliknya mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi tujuan demikian memandangkan peruntukan itu bukanlah hak wakil rakyat.
“Lepas putus, tandatangan dan luluslah. Ini tidak, tak payah tandatangan, tak payah bincang (Ahli Parlimen pembangkang minta) beri (peruntukan dan kata) ini hak kami.
“Bukan, bukan hak Ahli Parlimen. Runding (dahulu), setuju kita lulus. Kalau tidak, tunggulah sampai bila-bila pun, saya tak akan luluskan,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini
Anwar turut menjelaskan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Ketua Pembangkang bagi mendapatkan peruntukan kepada blok pembangkang pada tahun 2022.
“Keputusan ini mengambil contoh yang pernah dibuat Bera (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ketika menjadi Perdana Menteri, sebelum ini.
“Seperti diluluskan (Bera) sewaktu menjadi Perdana Menteri, peraturan yang lebih kurang kita guna.
“Nak peruntukan, bincang dan saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri II (Fadillah) untuk mewakili pihak kami. Selesai dengan baik. Runding, jangan sombong dan angkuh,” katanya. -Media Perpaduan