AHLI Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Md Jidin telah diarahkan keluar daripada Persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang kerana tidak mengendahkan larangan Speaker Tan Sri Johari Abdul daripada terus mengganggu pergulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun telah beberapa kali dijelaskan oleh Speaker, Dr Radzi masih tidak berpuas hati dan memohon Perdana Menteri menarik balik ucapannya.
Suasana Dewan Rakyat panas dan terhenti kira-kira 30 minit apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendesak Perdana Menteri menarik semula kenyataanya kepada Dr Radzi.
Sebelum itu, ketika Perdana Menteri menafikan dakwaan beliau campur tangan mengenai keputusan bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang membuat keputusan tidak meneruskan perbicaraan 47 kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi yang dilepaskan tanpa dibebaskan pada 4 September lalu.
“You boleh gelak Putrajaya, masa pentadbiran you buat perkara itu,” ucap Anwar.
Susulan itu, Dr Radzi bangkit dan menjerit, meminta Speaker mengarahkan Perdana Menteri menarik balik kenyataan itu kerana mendakwa telah mencemarkan maruah dan menimbulkan sangkaan jahat kepadanya.
Bagaimanapun, setelah diminta menjelaskan maksud kenyataannya oleh Speaker, Perdana Menteri berkata,
“Sebelum saya habis penjelasan tadi, dijerit dan disergah, apa jawapan saya,kamu tahu pentadbiran dahulu bagaimana. Ya Putrajaya tahu.
“Peguam Negara yang sama, Peguam Negara masa itu Tan Sri Idrus. Putrajaya tahu apa yang berlaku, sudahlah,” jelas Anwar.
Bagaimanapun bekas Menteri Pendidikan itu masih tidak berpuas hati dengan maksud kenyataan Anwar itu.
“Dia dah jelaskan, dah jelaskan apa yang dimaksudkan tadi,” kata Speaker.
“Saya dah jelaskan, Putrajaya tahu apa yang pentadbiran dulu buat. Peguam Negara dulu itu yang sama,” jelas Anwar lagi.
Dr Radzi dan para Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dan terus mengganggu ucapan pergulungan Perdana Menteri sehingga menyebabkan Speaker memberi amaran untuk mengeluarkan arahan keluar Dewan Rakyat kepada Dr Radzi.
“Saya guna kuasa saya last, kalau tidak tinggalkan (keluar). Putrajaya keluar,” tegas Speaker.
Sejurus itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bangkit dan menyatakan pendirian barisan pembangkang mengenai perkara itu untuk keluar daripada persidangan Dewan Rakyat bersama Dr Radzi.
“Saya dan bertanya Tambun, dan itu maksud Tambun. Apa lagi yang mahu lagi. Terpulanglah, Putrajaya saya dah buat keputusan bahawa Putrajaya terpaksa keluar,” kata Speaker.
Barisan pembangkang kecuali Ahli Parlimen Ketereh dan Muar kemudiannya bertindak keluar Dewan Rakyat. -Media Perpaduan