PEMBANGKANG diminta mengemukakan bukti berhubung dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat petang ini, Perdana Menteri berkata keputusan untuk memohon DNAA dibuat Peguam Negara (AG) ketika itu, Tan Sri Idrus Harun yang juga dilantik Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri.
“Apa bukti saya campur tangan, AG itu dipilih ketua YB (Muhyiddin)…saya tanya apa alasan kukuh DNAA ini. SPRM jawab siasatan diteruskan kalau ada bukti kukuh didakwa.
“Saya diminta seolah-olah supaya arah pendakwaraya dakwa TPM satu, kalau dakwa saya jadi hero.
“Keputusan dibuat oleh AG yang dilantik Pagoh… dia bagi alasan cukup kuat…kalau saya jelaskan 11 alasan itu umpama saya terlibat sebab itu saya serah kepada AG,” katanya memberi penjelasan ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung DNAA ke atas Presiden Umno itu.
Anwar menegaskan, ramai yang marah, namun AG mempunyai alasan untuk memohon DNAA itu.
Pada masa sama, Anwar turut membidas pembangkang supaya tidak mengkritik membuta tuli tanpa sebarang asas.
“Kecam orang (perdana menteri)…(kononnya) PM yang telah tinggalkan prinsip, gadai kerana nak jaga kekuatan.
“Saya terima (parti gabungan) tanpa syarat. Tanya pimpinan sini,” katanya. -Media Perpaduan