Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PERTUKARAN tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China berjaya dimeterai sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Nanning, China, hari ini.

Perjanjian MoU itu turut disaksikan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pejabat Perdana Menteri (PMO) menunjukkan MoU pertama dengan nilai pelaburan dianggar RM15 bilion (AS$5.2 bilion) adalah antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, yang mana kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji jana kuasa sisa kepada tenaga terutama di Malaysia.

Manakala MoU kedua pula bernilai kira-kira RM2.34 bilion (AS$500 juta) pula adalah pertukaran antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group.

MoU ini membabitkan kerjasama pergudangan dan logistik antara kedua-dua syarikat dalam menyokong Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu rantau ini untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Guangxi serta Malaysia.

Sementara itu, MoU terakhir dengan anggaran eksport sebanyak RM2.5 bilion ialah antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

Ianya membabitkan kerjasama membina pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis dan lelemak di Qinzhou, China dengan anggaran jumlah urus niaga tahunan sebanyak 500,000 tan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan lawatan kerja sehari ke Nanning atas undangan Perdana Menteri China, Li Qiang bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 di sini. – Media Perpaduan