Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PEMBENTANGAN usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Isnin lalu merangkumi beberapa intipati penting yang perlu diketahui rakyat.

Berikut ialah antara ucapan intipati penting Perdana Menteri:


● Gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi”.


● KSP RMK12 merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.


● RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.


● Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025 di bawah RMK12.


● Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion.


● Peningkatan bertujuan untuk menambah keperluan bagi membiayai bidang keutamaan rakyat, memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

Anwar Ibrahim


● Dasar Inovasi Sosial akan dilancarkan pada November ini bagi menggalakkan daya cipta pada peringkat akar umbi.


● Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara.


● Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada 2025.


● Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.


● Kerajaan sedia dana RM346 juta dalam tempoh RMK12 untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.


● Kerajaan akan menyediakan RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan inovatif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.


● Kebijakan perindustrian mengikut geografi akan diberikan penekanan termasuk Projek Ladang Air Manis di Kulai, Johor dan projek Taman Biopolimer Kerteh, Terengganu.


● Kerajaan telah lulus peruntukan RM1.1 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2025 dalam usaha memperkasa keselamatan dan memperoleh manfaat daripada potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan.


● Kerajaan bertekad untuk merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada 2025.


● Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberikan tumpuan.


● Projek pembangunan sistem Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan naik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat Sabah dengan kos RM195 juta akan dilaksanakan.


● Lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. Setakat ini, 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah.


● Sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak.


● Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga.


● Kerajaan akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji.


● Bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.


● Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.


● Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham.


● Dana wakaf akan diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf MADANI sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam.


● Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal.


● 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025.


● Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan.


● Projek rintis Perumahan Inklusif MADANI akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.


● Peruntukan sebanyak RM40 juta disediakan kepada persatuan sukan komuniti berdaftar bagi menganjurkan acara sukan bagi memupuk perpaduan dan membina masyarakat yang aktif dan sihat.


● Langkah untuk menggalakkan wanita kekal atau kembali bekerja akan ditingkatkan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan yang diperlukan seperti penjagaan anak, insentif kewangan dan waktu bekerja fleksibel.


● Maklumat mengenai pencari kerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) akan disepadukan dalam portal MyFutureJobs, manakala prosedur operasi standard pengambilan OKU dalam perkhidmatan awam akan ditambah baik.


● Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 (4IR)


● Kerajaan melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI) akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi membantu belia menceburkan diri dalam sektor pembuatan.


● Seramai 50,000 belia disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12.


● Kerajaan bersetuju untuk memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan melalui perolehan aset tambahan seperti kenderaan perisai, dron, kapal misi pesisir (LMS), helikopter dan pesawat tempur ringan.


● Kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber.


● Kerajaan akan menggubal undang-undang mengenai perubahan iklim bagi mengawal selia pelaksanaan kebijakan bagi memenuhi kewajipan perubahan iklim negara.


● Akta berkaitan pencemaran sumber air dan industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman yang setimpal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.


● Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana.


● Usaha khusus bagi melindungi spesies Harimau Malaya (panthera tigris jacksoni) yang kini kian terancam akan dipertingkatkan.


● Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) yang merangkumi dasar dan rangka kerja kawal selia serta khidmat sokongan akan dibangunkan bagi menggalakkan perniagaan menerima pakai amalan perniagaan yang mampan.


● Penstrukturan semula subsidi elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain akan dilakukan. Rakyat yang kurang bernasib baik kekal menjadi keutamaan kerajaan.


● Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti dalam sektor awam dan swasta.


● Kerajaan menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun.


● Penggunaan Identiti Digital (ID) Nasional secara rintis bagi pengesahan identiti yang selamat dan terpelihara dijangka dilancarkan pada 2025.


● Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK12 akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan kebijakan KSP RMK12. -Media Perpaduan