Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy kekal dibebaskan sepenuhnya daripada tuduhan meminda laporan akhir audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kegagalan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan menyebabkan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mendapati ianya sudah terlewat lebih dua bulan, dianggap luput dan terbatal.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak permohonan pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuan berkenaan di luar tempoh masa, lapor Beritq Harian.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh pada 6 Julai lalu.

Arul Kanda dan Najib Razak

Pada 12 Disember 2018, mengikut pertuduhan pindaan, Najib, 70, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam 1MDB.

Bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu bagi melindungi bekas Presiden UMNO terbabit daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, setakat 30 Ogos lalu, pihak pendakwaan dilaporkan belum memfailkan petisyen rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan notis rayuan yang difailkan sebelum ini dibatalkan dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Mac lalu dikekalkan.- Media Perpaduan