Akta khusus untuk pembaharuan semula bandar akan digubal oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk memastikan pembangunan semula lebih terancang dan cekap.
Menteri Nga Kor Ming berkata akta tersebut adalah selari dengan negara maju yang mempunyai undang-undang khusus dalama pembangunan semula bandar.
“Apa yang saya lihat dalam pembangunan negara, terdapat beberapa perkara yang merencatkan usaha ke arah pembaharuan semula bandar. Antaranya ketiadaan perundangan khusus, sebarang pembaharuan yang hendak dilaksanakan, merentasi bidang tugas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.
“Malah, terdapat sembilan perundangan khusus yang perlu diambil kira jika pembaharuan semula bandar dilaksanakan. Antaranya Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa, Akta Hakmilik Strata, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Pengurusan Strata,” kata Nga.
Nga berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar.