Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.
Sarawak diberikan kepercayaan untuk menganjurkan sambutan pada tahun ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 24 Jun 2020 yang antara lain bersetuju sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, kata Jawatankuasa Media dan Publisiti.
Tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” dengan tambahan cogan kata Bahasa Iban, “Segulai Sejalai”.
“Segulai” membawa maksud bersatu dan bekerjasama di samping berpegang kepada pandangan yang sama manakala “Sejalai” pula membawa makna berjalan atau melangkah bersama ke hadapan.
“Cogan kata ini amat bertepatan dengan Sambutan Hari Malaysia yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Ia menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia MADANI,” menurut JKMP.
Antara pengisian menarik yang dijadualkan pada sambutan tersebut ialah upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Konsert Hari Malaysia